Bismillah..
Kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud-Hud merupakan salah satu contoh kisah
pengajaran yang terkandung di dalam Al Quran. Kisah ini dirakamkan di
dalam surah An Naml ayat 20 hingga 28 supaya ia menjadi pengajaran
kepada manusia, kisah mengenai sebuah kerajaan yang tidak akan dimiliki
oleh seseorangpun setelah kewafatan Nabi Allah Sulaiman A.S.
"Wahai Tuhanku! Ampuni kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah
kerajaan (yang tiada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun
kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah
kurnia-Nya." (As Sadd:35)
Pada satu ketika, Nabi Sulaiman A.S mengumpulkan seluruh
pengikut-pengikutnya dan memeriksa mereka baik dari kalangan manusia,
jin dan haiwan. Sesudah diteliti, ternyata burung Hud-Hud didapati tidak
hadir sehingga menyebabkan Nabi Sulaiman A.S murka kepada Hud-Hud dan
bertekad akan menyembelihnya sebagai hukuman. Tidak lama kemudian,
Hud-Hud datang menghadap Nabi Sulaiman dengan penuh pengaduan,
menjelaskan sebab-musabab keterlewatannya di dalam majlis perhimpunan
yang diwajibkan oleh Baginda Sulaiman.
Hud-Hud menjelaskan kepada Baginda bahawa ia terserempak dengan seorang
wanita bernama Balqis, seorang ratu kerajaan Saba' yang memiliki
singgahsana yang besar, tetapi malangnya ratu tersebut tidak beriman dan
tunduk kepada Allah Taala. Pengaduan Hud-Hud diterima oleh Nabi
Sulaiman, lantas Baginda mengarahkan Hud-Hud untuk menyiasat perkara itu
dan membawa surat perutusan dari Baginda. Diringkaskan di sini bahawa
Hud-Hud adalah seekor makhluk kecil yang memiliki kepekaan dan prihatin
terhadap peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.
Keistimewaan yang dimiliki oleh Hud-Hud adalah taat kepada pemimpin dan
dahagakan maklumat. Walaupun Hud-Hud menyedari kelewatannya bertemu Nabi
Sulaiman, Hud-Hud tetap hadir dengan membawa amanah untuk dihadapkan
kepada pemimpinnya. Keterlewatan Hud-Hud bukan alasan untuknya tidak
hadir bertemu Nabi Sulaiman. Ini menunjukkan Hud-Hud memiliki sifat
berani biarpun kemungkinan yang bakal berlaku ialah Hud-Hud akan dihukum
oleh Nabi Sulaiman.
"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang
seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa
kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak
hadir)." (An Naml:21)
Sekali imbas ancaman yang dituturkan oleh Nabi Sulaiman A.S kepada
Hud-Hud tersebut adalah amat menggerunkan, apalagi jika ucapan tersebut
ditujukan kepada manusia yang melalaikan perintahnya. Seolah-olahnya
Nabi Sulaiman mengeluarkan ‘pekeliling surat berhenti kerja 24 jam’
kepada Hud-Hud, tetapi sambungan ayat selanjutnya menyerlahkan sisi lain
yang walaupun disampaikan dalam keadaan murka, namun rasional masih
menguasai diri Nabi Sulaiman, "...Kecuali jika dia datang kepadaku dengan alasan yang jelas".
Apa yang benar, Hud-Hud tidak terbang ke negeri Saba' untuk
bersiar-siar, makan angin ataupun melanggar prinsip-prinsip umum seperti
mengabaikan perintah pemimpin dan sebagainya, sebaliknya Hud-Hud
terbang dan kembali ke perbarisan Nabi Sulaiman. Kelewatan Hud-Hud
adalah kerana ingin mendapatkan maklumat berkaitan keadaan politik di
negeri Saba'. Misi yang dibawanya juga adalah misi yang besar, iaitu
misi men-tauhidkan umat manusia, bukannya misi-misi berbentuk sekunder
seperti masalah khilafiyyah, permusuhan peribadi dan tuduh-menuduh,
tetapi misi menyelamatkan manusia dari menjadi 'parasit' kekufuran.
Pengajaran yang dapat kita amati dari sikap Nabi
Allah Sulaiman pula, seorang pemimpin mestilah memiliki sifat tegas dan
sentiasa mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya bertindak
semberono dan menuduh tanpa pemeriksaan yang nyata. Ketelitian Nabi
Sulaiman dapat dilihat melalui katanya di dalam surah An Naml ayat 27 :
"Nabi Sulaiman berkata; Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya,
adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan
yang berdusta."
Ketegasan ini menunjukkan kepada setiap pemimpin agar jangan segera
percaya dengan setiap alasan yang diberikan tanpa penelitian.
Ini kerana informasi yang tepat dan boleh dipercayai sangat penting
untuk meneruskan kelancaran organisasi agar visinya mampu bergerak laju
tanpa 'tempang'. Itulah yang ditekankan oleh Nabi Sulaiman, Baginda
tidak terus melulu menerima setiap patah kata-kata Hud-Hud, sebaliknya
memeriksa intipati kebenarannya :
"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka,
kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa
tindak balas mereka." (An Naml:28)
Nabi Sulaiman juga mengajarkan kepada bakal pemimpin supaya tidak
meremehkan perkara kecil, kerana seringkali sesuatu yang besar bermula
dari awalnya nampak kecil. Tugas yang dimainkan oleh Hud-Hud hanya kecil
jika dibandingkan dengan jin Ifrit yang menanggung beban berat
singgahsana Balqis, tetapi sumbangan jentera kecilnya bernama Hud-Hud
tetap direkodkan di dalam Al Quran kerana "kejujuran"-nya. Selain itu,
sebagai manusia kita perlu merasa malu dengan Hud-Hud, spesis burung
yang kecil tetapi hidupnya digunakan untuk misi besar iaitu mengajak
manusia mentauhidkan Allah, bahkan dia melakukan tugasan mulia tersebut
tanpa menunggu arahan khusus.
Sumber : http://www.tarbawi.my/2013/02/kejujuran-hud-hud-dan-ketegasan-nabi.html
Kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud-Hud
Posted by Crag | 5:20 PM | Kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud-Hud | 0 comments »
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments
Post a Comment