Pada suatu hari hening,sekumpulan binatang berkumpul bersama dan
berbincang untuk menghapuskan singa yang angkuh itu.“Biar saya yang
pergi berjumpa dengan singa itu. Saya akan merayu
kepadanya agar tidak menangkap haiwan di hutan ini lagi,” kata seekor
rusa kepada kawan-kawannya. Dia sanggup berkorban nyawa demi keselamatan
rakan-rakannya.
Semasa pertemuan dengan rusa, singa itu berkata dengan angkuh.
“Kalau kamu tidak mahu aku menangkap binatang di hutan ini lagi, kamu
hendaklah mempersembahkan makanan kepada aku setiap hari.” Terdiam
semua binatang apabila kehendak singa itu disampaikan oleh rusa
kepada mereka.
Naik darah seladang mendengar kata-kata singa itu. Dia berfikir sejenak lalu berkata dengan marah.
“Jangan beri muka kepada singa yang kejam itu. Ada hati dia mahu makan
kita. Kita mesti membunuhnya sebelum kita menjadi mangsa yang
seterusnya.”
“Tapi bagaimana, seladang?” sampuk arnab yang hanya berdiam diri sejak tadi.
“Kita masih ada jalan. Biar saya yang menjadi mangsanya yang pertama,” kata zirafah dengan berapi-api.
Esoknya, zirafah pergi menyerah diri kepada singa itu.
“Mengapa lambat, ha? Engkau tahu tak, aku lapar?” herdik singa.
“Ma ... ma ... maafkan patik tuanku, semasa dalam perjalanan ke sini,
patik telah ditangkap oleh seekor singa yang mengaku dirinya raja,”
sembah zirafah pura-pura ketakutan.
“Apa? Raja? Hanya aku raja di hutan ini! Tunjukkan kepadaku tempat si
bedebah itu. Biar aku tamatkan riwayatnya!” kata singa dengan bengis.
Panas hati singa mendengar penjelasan zirafah.
Zirafah pun membawa singa ke sebuah perigi. Apabila tiba di tepi perigi
tersebut, zirafah pun berkata, “Itu dia singa yang mengaku dirinya raja,
tuanku,” Zirafah menunjukkan bayang-bayang singa di dalam perigi itu.
Tanpa membuang masa, singa pun terjun ke dalam perigi tersebut untuk
membunuh Sang Singa yang dilihatnya itu. Zirafah riang kerana
rancangannya berjaya.
Semenjak itu,zirafah itu terus dianggap wira oleh kawan-kawannya.Akhirnya, binatang-binatang di hutan tersebut hidup dengan aman dan bahagia.
0 comments
Post a Comment